Sabtu, 19 Mac 2011

Sajak oleh Sasterawan Negara..



GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi 


(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979






OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.



Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.


Gnru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.


Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.


Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988





Selasa, 8 Mac 2011

Gambar-gambar inovasi

BASIKAL FUTURISTIK
Kemajuan dalam bidang pembuatan mungkin menyebabkan basikal berbentuk ringkas seperti ini mampu dibuat. Basikal ini direkabentuk oleh John Villareal dan tidak mustahil menjadi basikal akan datang.

LORI BIONIK
Rekabentuk lori ini adalah rekabentuk bionik. Oleh kerana badan lori ini bersegmen jadi lori ini boleh dipanjang dan dipendekkan mengikut keperluan. Rekabentuk bersegmen ini diambil daripada serangga seperti lipan.Lori ini direkabentuk oleh Haishan Deng merupakan inovasi terbaru bagi rekabentuk lori sedia ada.

STERIKA KREATIF
Rekabentuk sterika yang kreatif. Jika anda biasa sterika baju, anda akan mengalami masalah menegakkan sterika sementara mahu memperbetulkan baju yang hendak di sterika. Mungkin ini rekabentuk yang bakal menyelesaikan masalah tersebut.

KERETA ELEKTRIK
Kereta Elektrik Aptera ini bakal berada di atas jalan pada masa yang terdekat ini. Rekabentuk yang futuristik berbeza dengan kereta yang berada di atas jalan sekarang ini menjadi penarik pada masa hadapan.


ROBOT PENYELAMAT
Robot penyelamat pada masa depan ini direkabentuk oleh Daniel Shankland, seorang pereka yang telah memenangi beberapa pertandingan. Menurut Daniel, robot ini dicipta bagi melakukan kerja-kerja menyelamat sekiranya terdapat bencana besar berlaku. Dengan itu, tugas menyelamat menjadi lebih mudah kerana robot ini dapat melakukan tugas yang berat dan sukar. Dengan saiz yang agak besar, robot ini mampu melaksanakan tugas menggantikan tugas pasukan penyelamat.

KAPAL PELAYARAN MASA HADAPAN
Oculus adalah sebuah kapal untuk kegiatan pelancongan dengan bersaiz 250 kaki telah direkabentuk oleh E. Kevin Schopfer. Oculus ini adalah kapal pelancongan jarak jauh mempunyai fungsi yang sama seperti kapal sekarang tetapi lebih canggih dan berbentuk moden. Sesuai untuk digunakan oleh kegiatan pelancongan mewah dan juga rekreasi. Rekabentuknya menjangkaui peredaran zaman dan menjadikannya sebagai kapal pada masa akan datang.



Tempat letak basikal yang aneh

Tolak basikal kesayangan anda ke dalam dan biarkan ia pergi

Mesin akan menyedut basikal anda dan lenyap begitu sahaja

KERETA RALLY MITSUBISHI 2025
Ini adalah kereta konsep rally Mitsubishi yang mungkin digunakan pada tahun 2025. Apa yang menariknya adalah pada setiap tayar kereta ini dilengkapi dengan enjin yang akan menggerakkan kereta ini. Dengan menggunakan enjin berkuasa elektrik, kereta ini mampu digunakan untuk kereta lumba rally pada masa akan datang. Selain itu, kereta konsep ini tidak mempunyai cermin depan dan tingkap. Oleh itu pemandu hanya menggunakan skrin dalaman untuk melihat apa yang berlaku di luar kereta ini.

KERETA BANDAR
Kereta konsep yang diberi nama Drop ini adalah sebuah kereta konsep sesuai digunakan di bandar-bandar. Kereta yang direkabentuk oleh Rubem De Floriani dari Brazil adalah bersaiz kecil dan hanya memuatkan seorang sahaja. Kelebihan yang terdapat pada kereta ini adalah ianya mudah untuk diletakkan dan menggunakan ruang yang sedikit. Idea yang praktikal ini dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di bandar-bandar besar. Walau bagaimanapun kereta ini tidak membawa apa-apa makna sekiranya terlalu banyak kereta seperti ini di bandar dan mewujudkan kesesakan lalu lintas.

KERETA @ TROLI MASA HADAPAN
Bayangkan anda memandu kereta kecil dan kompak di dalam bandar masa depan. Kereta tersebut dilengkapi dengan teknologi moden dan canggih. Membawa anda menelusuri bandar metropolitan yang besar dan tersusun dengan lancar tanpa kesesakan lalu lintas. Kereta yang anda bawa itu bukanlah kepunyaan anda tetapi dimiliki oleh sebuah syarikat pengangkutan awam. Kereta ini bagaikan sebuah troli di pasaraya besar. Untuk menggunakannya anda hanya perlu memasukkan sejumlah wang dan kereta ini serta merta menjadi milik anda untuk sementara waktu. Setelah memandu dengan tenang dengan suasana bandar tanpa pencemaran ini, anda telah sampai ke destinasi yang dituju. Anda melihat sebuah stesen khas dan anda memberhentikan kereta di stesen tersebut dan membiarkan sahaja begitu. Hasil kerja oleh Roberto Vackflores dari Santiago,Chile.

STESEN TERBANG ANGKASA
Sebuah lapangan terbang akan dibina di New Mexico. Ini bukan sebarangan lapangan terbang tetapi sebuah stesen untuk membawa penumpang ke angkasa. Syarikat pelancongan Virgin Galactic adalah syarikat yang akan memberi perkhidmatan pelancongan ke angkasa lepas. Penerbangan ke angkasa ini mungkin akan bermula pada tahun 2010.

KHEMAH CANGGIH LUTSINAR
CANGGIH... khemah gelembung dan lutsinar direka untuk memberi pemandangan panorama menakjubkan kepada penghuninya. Sesiapa saja yang ingin mencuba kelengkapan luar ini pasti mahu membawa langsir bersama-sama mereka. Walaupun ia lebih kelihatan seperti mangkuk gergasi ikan emas, rekaan terbaru ini sebenarnya ialah khemah lutsinar. Dengan pemandangan panorama menakjubkan di sekitar kawasan perkhemahan, struktur lut sinar ini direka untuk membolehkan orang ramai berada serapat mungkin dengan alam semula jadi.
Bagaimanapun, ia jauh lebih canggih berbanding peralatan perkhemahan tradisional. Dengan dilengkapi almari, rak dan lampu elektrik, khemah gelembung ini kelihatan lebih daripada sebuah bilik hotel yang boleh bergerak berbanding khemah biasa.