PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk membubar skuad bola sepak wanita kebangsaan bagi meneruskan usaha mencari bakat baru sebelum membentuk pasukan lebih mantap pada masa depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ekoran pembubaran itu, pemain lama yang berpengalaman akan dipertimbang untuk menjadi jurulatih pasukan bola sepak wanita negeri.
“Mereka akan membantu FAM mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi,” katanya selepas merasmikan kursus kejurulatihan akar umbi bola sepak wanita bersama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), semalam.
Beliau berkata, sebelum menubuhkan kembali skuad bola sepak wanita, FAM akan memberi tumpuan kepada program berkaitan pembangunan akar umbi di seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai pemain bola sepak wanita.
Program pembangunan itu bermula April tahun lalu tapi hanya membabitkan beberapa sekolah di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Bekas kapten skuad wanita kebangsaan, Angela Kais, 31, berkata, walaupun sedih, dia gembira dengan usaha FAM menganjurkan program itu.
“Bila skuad wanita dibubar, kami tiada tempat untuk bermain tapi usaha FAM menganjurkan program pembangunan bola sepak wanita di peringkat akar umbi memberi peluang untuk kami membantu FAM kumpul pemain baru,” katanya.
Seramai 31 wakil yang dipilih persatuan bola sepak negeri kecuali Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak dihantar menyertai kursus lima hari yang berakhir Sabtu ini.
Kali terakhir skuad wanita kebangsaan menyertai kejohanan ialah pada temasya Sukan Sea Laos 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan